PERAWAKANNYA
yang warak dan selalu ke masjid mendorong budak-budak kampung rajin
belajar mengaji dengan Pak Din sehingga ramai yang sudah boleh membaca
Al-Quran.
Para
penduduk sekitar Taman Mount Austin, Johor Bahru, juga tidak sedikit
pun sangsi siapa Pak Din sebenarnya sehinggalah sepasukan polis dari
Bukit Aman, Kuala Lumpur, menyerbu rumahnya dan mengaupnya pergi.
Penyamaran Yan Bai sebagai Pak Din terbongkar jua akhirnya.
"Ini
engkaukan... engkaukan? Mana kau nak lari?'' kata Yan Bai ketika
menyingkap operasi polis lengkap bersenjata sambil menunjukkan kad
pengenalannya yang telah dibesarkan seperti poster dalam 2004 itu.
Mereka tidak menemui sebarang bukti - dadah atau senjata api - dan Yan Bai tetap diam membisu.
Yan
Bai digeruni dalam "dunia jenayah" yang sering dikaitkan dengan
sindiket mengedar dadah, pelacuran, pemerasan wang perlindungan,
keganasan, perjudian dan rusuhan bagi mempertahankan "nombor"
masing-masing hingga mengorbankan nyawa.
Sebagai
ketua satu-satunya kumpulan samseng Melayu Omega, Yan Bai juga dalam
senarai paling dikehendaki perisik polis bukan saja di sini malah di
seberang Tambak.
Selepas
beberapa minggu ditahan di lokap Bukit Aman, beliau dikawal ketat dalam
perjalanan ke Johor Bahru dan kemudiannya diserahkan kepada polis
Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Koswe sebelah Singapura.
Atas
dakwaan sebagai pengasas Omega, beliau ditahan tanpa bicara di bawah
Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau CLTPA.
Yan
Bai, kini 51 tahun, pernah ditahan di Penjara Chia Keng di Yio Chu Kang
Road pada 1987 di bawah akta sama kerana disyaki terlibat dalam
rangkaian pengedaran heroin.
Beliau
yang pernah dua kali keluar masuk pusat pemulihan dadah (DRC) menyimpan
dendam kerana mendapati pengedar Melayu, termasuk beliau, ditindas
sindiket dadah kaya raya yang dikuasai kumpulan samseng.
Atas
pemikiran itulah beliau menubuhkan kumpulan Singapura 14, hasil
perbincangan dengan beberapa banduan penjara itu yang kebanyakannya
tinggal di sekitar Geylang.
Namun,
kumpulan itu dibubarkan selepas dua tahun kerana sesetengah anggota
melanggar etika gengster - terlibat dalam kegiatan homoseksual.
Yan
Bai, yang disokong enam banduan Melayu yang lain, kemudian mengangkat
sumpah sehidup semati dengan Al-Quran untuk menubuhkan kumpulan Omega
sempena sambutan hari jadinya pada 23 September 1989.
Dengan
penubuhan kumpulan yang menarik penyertaan kian ramai banduan, beliau
"turun cakap" dengan kepala gengster yang lain bagi membolehkan banduan
Islam mengangkat wuduk di tandas antara 7 dengan 8 malam di penjara itu.
"Sebelum
itu, susah nak ambil wuduk pada waktu maghrib dan isyak. Bayangkan
lebih 30 orang berebut nak pakai tempat tandas yang hanya ada sebuah.
Ada kepala gengster yang tak setuju tapi saya jumpa mereka one to one.
Mereka tak berani angkat muka. Akhirnya semua ikut peraturan yang
dipersetujui itu dan tiada lagi pergaduhan,'' sambung Yan Bai yang
ditemui baru-baru ini dengan memakai jean hitam, sepatu sukan, dua
rantai berjuntai di tengkuk serta gelang dan cincin berbaris.
Sejak itu, Yan Bai semakin dihormati di penjara yang kini telah pun dirobohkan.
Selepas
lima setengah tahun, Yan Bai dipindahkan ke Kem Ahmad Ibrahim di Upper
Thomson Road, tetapi melarikan diri hanya beberapa bulan selepas itu.
Ketika pelarian itulah kumpulan Omega semakin berkembang dengan para anggota semuanya Melayu bersepah di sana sini.
Kumpulan
yang disifatkan sebagai berani mati itu beransur-ansur menguasai
pengedaran dadah dan sekali gus mengurangkan monopoli kumpulan-kumpulan
samseng lain.
Dalam
1990-an itulah masalah dadah di kalangan masyarakat Melayu memuncak
sehingga ke tahap membimbangkan. Yan Bai ditangkap sekali lagi dan
ditahan atas kesalahan melarikan diri dari penjara.
Beliau dibebaskan pada 2000 dan berkahwin pada hari jadinya - 23 September.
Menyedari
gerak-geri dan kegiatannya dipantau polis, Yan Bai bersembunyi di
Indonesia dan Malaysia tetapi masih memberi arahan kepada orang-orang
kanannya di Singapura.
Jaringan
rapat dan berurusan secara langsung dengan kongsi-kongsi gelap yang
juga menguasai penyeludupan dan pengedaran dadah di Malaysia,
menyaksikan Yan Bai dihormati dan diberi bantuan.
"Semuanya
beres macam pasang siap apabila saya sampai ke Malaysia. Mereka kasi
kad pengenalan, pasport dan serahkan sebuah kereta baru Proton Saga
dengan hanya bayar sagu hati tanda persaudaraan sebanyak RM3,600.
"Jumlah
tersebut juga sempena lambang kumpulan samseng 36 yang berpengaruh di
Malaysia,'' kata Yan Bai sambil menyatakan para anggota kumpulannya
hidup senang hasil kegiatan mengedar dadah tetapi dicemburui
kumpulan-kumpulan samseng lain.
"Dulu
budak-budak jam (Omega) nak dapat satu peket heroin, boleh buat 40
hingga 50 suku, pun susah daripada sindiket lain. Saya kasi budak-budak
kita hidup. Satu peket saya tolak $80 dan mereka jual $250.
"Saya pastikan harga tetap di pasaran... tak boleh main bangsat,'' tambahnya.
Namun, sejak dibebaskan Februari lalu, beliau mengaku kesempitan kerana sukar mendapat pekerjaan dan kini dalam proses cerai.
BELIAU
mengisytiharkan tidak lagi ada kena-mengena dengan Omega - kumpulan
samseng 100 peratus Melayu yang diasaskannya lebih 24 tahun lalu.
Yan
Bai, 51 tahun, tidak menyesal atas keputusan yang meletakkannya sebagai
legenda kumpulan samseng Melayu yang dapat duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang lain.
Kini,
lelaki kulit sawo matang, badan bak bongkok udang dan muka fighter itu
mahu hidup bebas daripada buruan polis dan tendang-terajang dunia
jenayah.
"Saya
rasa dah cukup. Hidup ini sekejap dan lantas saya ingin nikmati
kemanisan di penghujung hayat saya. Dulu saya rasa saya kuat,
berpengaruh, ditakuti dan boleh buat apa saja dan tak takut pada
sesiapa.
"Tetapi,
sekarang saya sedar Allah Maha Besar dan lebih berkuasa. Saya mahu
jalan yang lurus sehingga di titian siratal mustakim.
"Saya
dah tak mahu melakukan perkara-perkara yang tak baik lagi. Orang ingat
saya sentiasa jahat tetapi saya selalu ingatkan budak-budak jam (Omega)
supaya buat baik dengan ramai-ramai tolong jika ada kematian atau kerja
lahwin.
"Jangan derhaka kepada ibu bapa... minta maaf dan cium tangan mereka sebelum terlambat.
"Saya
juga selalu bilang mereka yang salah tetap salah dan yang benar tetap
benar,'' kata Yan Bai dengan penuh insaf kerana tidak sempat berbuat
demikian kepada ibu bapanya sendiri.
Yan
Bai dibebaskan Februari lalu selepas sembilan tahun meringkuk tanpa
bicara di balik jeriji besi Penjara Changi atas dakwaan menjadi pengasas
Omega.
Di
sebalik kebebasan dan angin segar yang dihirupnya, Yan Bai diwajibkan
melaporkan diri setiap minggu di sebuah balai polis dan wajib berada di
rumah dari 7 malam hingga 7 pagi selama tiga tahun.
Bukan
itu saja, beliau dilarang berada di 11 kawasan hitam termasuk Bedok,
Geylang, Orchard Road, Choa Chu Kang, Chinatown, Boat Quay dan Clarke
Quay.
"Saya
juga dah tak lagi boleh campur atau duduk semeja dengan budak-budak jam
atau gengster. Jika polis datang, mereka akan cekup saya,'' tambahnya.
Ditanya
apa gahnya menjadi ketua atau "chong" kumpulan gangster, beliau hanya
menyatakan "Tak ada apa-apa yang bagus. Saya hanya kawal dia orang dan
saya pastikan mereka tak buat sebarangan.
"Kalau
dalam penjara dulu, saya pastikan banduan Muslim dapat melakukan
ibadah. Di luar, saya pastikan anggota kumpulan gengster Melayu tidak
ditindas dan dibuli. Dunia gengster tak ada diplomasi!''
Mengenai
para anggotanya yang dikatakan sekitar 1,000 orang itu, Yan Bai
mendakwa tidak tahu berapa bilangan anggota Omega sekarang dan sama ada
Omega masih hidup atau tidak.
Omega adalah singkatan bagi Only Malays Enter Gangster Association atau Hanya Melayu Masuk Persatuan Gengster.
"Biarkan
cerita habis di sini. Lagipun, saya tak ada apa-apa masalah sejak saya
laporkan diri kepada polis setiap minggu mulai tujuh bulan lalu,''
tambahnya.
Ditanya apa yang beliau paling kesali sepanjang 30 tahun bergelumang dalam dunia kongsi gelap, beliau berkata:
"Melayu bergaduh dengan Melayu dan Melayu bunuh Melayu!''
"Orang
mungkin sangka saya selalu dikerumuni orang tetapi hakikatnya ialah
saya selalu bersendiri. Hidup saya sunyi kerana para anggota saya tak
berani himpit saya. Kalau ada 1,000 anggota, mungkin hanya 10 yang
pernah duduk semeja dengan saya. Saya juga selalu menyembunyikan diri
kerana elak diburu polis dan dalam jel pun sendirian berhad,''
tambahnya.
Diminta nasihatnya, beliau berkata: "Jangan campur gengster sebab anda tak dapat apa-apa tetapi hilang segala-galanya."
"Saya sendiri dah buang baju dan cuma berharap akhir kalam saya ialah Yan Bai berubah kepada yang baik,'' tambahnya
No comments:
Post a Comment