KUALA
LUMPUR: Selepas kontroversi seorang guru mualaf, Choi Yi Shan, 25,
diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di SJKC Nan Ya, Teluk
Sengat, Johor, malam tadi diskriminasi yang sama dikenakan kepada
seorang penyanyi yang membuat persembahan di Roof Lounge, Pusat
Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.
Marinatasha Isnariah Mustapar, 33,
yang sepatutnya menyanyi bersama band Rufus dimalukan dengan diarahkan
turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET
2014 iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas,
Sri Hartamas.
“Saya
rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas
pentas dengan mikrofon. Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan
membawa turun bersama note stand,” jelas Marina yang kecewa diaibkan di
hadapan lebih kurang seratus tetamu pada insiden jam 8.00 malam tadi.
Arahan
berbaur perkauman tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Kewangan CASTMET,
Shannon Yong. Menurut Marina lagi, Shahnon ada menemuinya sebelum acara
berlangsung dengan meminta dia mencari penyanyi ganti yang tidak
bertudung untuk menjayakan persembahan tersebut.
“Semasa
saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza Damas pada 16
Januari lalu, wakil CASTMET ada bersama dan mereka tidak pernah isukan
mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut,
Shahnon menimbulkannya atas alasan tidak sesuai, sedangkan ada tetamu
yang datang berhijab.”
Artis
Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul kemudian
dalam persembahannya turut bersimpati dengan mengundang Marina untuk
naik ke atas pentas bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You”
dan “Price Tag”.
“Saya
lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya berhijab.
Malah Pengerusi kumpulan syarikat CASTMET, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor
turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marina yang kemudian
telah dimarahi Shannon setelah selesai persembahan tersebut.
Menurutnya
lagi, Shannon kemudian telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana
tidak berpuas hati dengan tindakan Marina menyanyi dalam keadaan
bertudung. Setelah melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya
bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek
untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Jaharudin
ketika dihubungi MySuara pagi tadi mengesahkan kejadian tersebut tetapi
enggan mengulas lanjut kerana dia bukan pihak yang berautoriti.
Bekas
pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal yang
pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12
tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur
sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai
seorang Muslim.
“Kita
berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika Syarikat pun
sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa masalah kita
di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” tegas Marina
yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40
pagi tadi selepas pulang dari majlis tersebut. - MySuara
No comments:
Post a Comment