Wednesday 8 May 2013

Panas !! Artis Hentam Media Malaysia...??




TIDAK ke mana seseorang artis itu tanpa sokongan daripada media dan tidak dinafikan bahawa sinergi antara media dan artis umpama aur dengan tebing - saling memerlukan.
Namun apabila timbul ketidakpuasan hati terhadap penulisan media, seseorang artis tidak seharusnya mudah melenting dan menyelar tugasan rakan wartawan yang melakukan kerja mereka.
Biarpun kritikan atau komen pedas itu bukan datang secara terus daripada artis, adakalanya individu yang paling rapat atau bersangkut paut dengan artis tersebut secara tidak langsung mewakili sebahagian imej seseorang artis.
Hal terbaharu berlaku kepada penyanyi terkenal yang melakar nama di Los Angeles, Amerika Syarikat dan baru mengeluarkan sebuah album EP berjudul Sixth Street semalam.
Tidak lain tidak bukan penyanyi yang dimaksudkan adalah Yunalis Zarai atau Yuna!
Hakikat yang terjadi, pada malam semalam sekitar pukul 10.30 malam waktu Malaysia, teman rapat Yuna yang turut terbabit dengan pembikinan muka hadapan album EP penyanyi itu, Julian Schratter melalui akaun Instagramnya, throughjuleslens menyelar tindakan media Malaysia.
Tindakan itu dilakukan atas alasan ulasan yang telah ditulis oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada awal minggu ini kurang mengancam dan memberikan respons yang negatif.
Menerusi penggunaan frasa 'overdone and uninventive' atau diterjemahkan sebagai tidak berdaya cipta dan keterlaluan, Julian dengan mudah membuat kesimpulan dengan memberikan konotasi negatif terhadap petugas media Malaysia.
Katanya melalui gambar salinan skrin artikel terbabit yang telah dimuat naik menerusi akaun Instagramnya itu dalam bahasa kasar: "Saya terkesima seketika kemudian saya sedar bahawa saya membenci semua media Malaysia dan saya tidak ambil pusing apa yang mereka ingin katakan."
Siapa Julian?
Tidak salah untuk memberikan komen pedas seandainya hasil kerja itu tidak selari dengan penulisan media tapi sedarlah bahawa tanpa media, Yuna tidak akan terkenal dan popular hingga ke Hollywood.
Malah, adalah tidak adil untuk menghakimi keseluruhan media Malaysia atas satu ulasan yang dirasakan tidak enak didengar. Prejudis dan terlalu cepat menilai tanpa bukti sahih sebenarnya.
Bagaimanapun, gambar tersebut telah dikeluarkan daripada laman sosial Instagram milik Julian.
Julian merupakan jurufoto rasmi Yuna sepanjang berada di Los Angeles dan sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia bersama Yuna pada pertengahan bulan Februari lalu.
Julian dan Yuna juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta namun mereka belum pernah mengesahkan akan dakwaan tersebut.
Sepanjang Julian berada di Malaysia ketika itu, dua keping gambar pemuda tersebut mengenakan busana baju Melayu lengkap bertanjak dan bersampin tersebar menerusi akaun Instagram pereka fesyen kegemaran Yuna, Hatta Dolmat.
Dalam pada itu, Julian dan Yuna rancak memuat naik gambar bersama sepanjang berada di Los Angeles dan ketika Yuna meluangkan masa bersama keluarga Julian.
Lancar EP
Sementara itu pada pagi semalam, Kosmo! diberikan kesempatan menerusi syarikat rakaman Universal Music Malaysia untuk menyaksikan sendiri majlis pelancaran album EP Yuna terbaharu Sixth Street secara langsung dari Indie Pop Studio, Los Angeles secara live streaming di laman web Stage It.
EP Sixth Street merupakan album pertama Yuna di bawah syarikat gergasi muzik antarabangsa Verve Records yang dikendalikan oleh komposer tersohor David Foster dan dijual dalam bentuk digital.
Pelancaran EP itu dibuat secara serentak seluruh dunia dan menerusi majlis khas itu, Yuna mempersembahkan lima buah lagu yang dipetik daripada album itu.
Dimulakan dengan lagu I Wanna Go hasil ciptaan gitaris berbakat dari kumpulan Incubus, Mike Einziger. Bunyi yang segar dan muzik yang sedikit rancak menarik pendengar untuk terus kekal menyusuri lagu-lagu seterusnya.
Yuna diiringi tiga orang pemain instrumen seterusnya memperdengarkan empat buah lagu berikutnya iaitu Right Again, Young, Let Love Come Through (duet bersama Kyle) dan Musician.
Secara keseluruhannya, album EP itu mengandungi pengaruh muzik Alanis Morissette dan sesuai dengan vokal unik Yuna. Pastinya ramai yang menantikan album penuh penyanyi tinggi lampai itu.

No comments:

Post a Comment