KUALA LUMPUR - Rakyat tidak setia kepada negara perlu dianggap sebagai musuh yang perlu dicegah dan dihukum, demikian menurut seorang anggota Parlimen.
Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berkata fenomena yang tercetus hasil politik kebencian itu dilihat semakin meruncing malah diguna sebagai modal oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan.
"Akhir-akhir ini, aspek yang merunsingkan kita ialah budaya politik kebencian yang nampaknya kian menjadi-jadi sehingga melepasi persempadanan politik, menembusi parameter kaum, parti dan agama sehingga sampai ke tahap melabelkan apa sahaja institusi kerajaan harus dibenci.
"Fenomena ini amat berbahaya kerana ia pasti akan menghakis soal kesetiaan kepada negara, namun fenomena ini jugalah yang digunakan sebagai modal politik oleh sesetengah pihak bagi meraih sokongan," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata persoalan yang harus diambil kira di sebalik fenomena itu adalah sama ada rakyat bersedia mengalami keruntuhan kesetiaan kepada negara, semata-mata atas nama demokrasi dan kebebasan.
Hasbullah turut menyarankan agar pencegahan dan penghukuman segera dilaksana supaya fenomena kesetiaan yang kian terhakis dalam kalangan rakyat dapat dibendung dan dirungkai.
Terdahulu, PRU13 terus menjadi topik hangat apabila beberapa anggota Parlimen pembangkang, termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membangkitkan isu undi popular.
Abdul Hadi (Pas - Marang), ketika membahaskan usul sama, mengulangi pertikaian terhadap daftar pemilih PRU13 dengan mendakwa wujud banyak keraguan termasuk ada warga asing mendapat kad pengenalan dan mengundi.
Dakwaan itu menyebabkan Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) bangkit mencelah dan meminta penjelasan berhubung kenyataan berkenaan serta menuntut Abdul Hadi mengemukakan fakta, dan bukan sekadar membuat tuduhan tidak berasas.
"Berdasarkan fakta, hanya 113 warga Bangladesh mendapat kerakyatan. Daripada jumlah itu, hanya 85 layak mengundi tetapi yang mendaftar undi ialah 41 orang.
"Jadi, dari mana datangnya alasan mengatakan ada pengundi dari negara luar yang diberi kerakyatan dan boleh mengundi, sedangkan jumlahnya tidak pun sampai sebagaimana didakwa pembangkang," katanya.
Abdul Hadi, ketika menjawab celahan Shabudin itu, sekadar berkata banyak pendedahan dapat dibuat jika pembangkang mendapat kemudahan maklumat dari agensi kerajaan.
Datuk Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula membidas pembangkang hanya membuat dakwaan berkaitan 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi hantu namun langsung tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh berhubung perkara itu.
"Kalau ada, kenapa tidak ada sebarang petisyen pilihan raya dibuat mengenai perkara itu", soalnya sinis. Persidangan Dewan bersambung esok. - Bernama
Fikir-Fikirkan: Rakyat tak setia perlu dicegah dan dihukum, tetapi kalau pemimpin yang tak setia dan tak amanah macam mana? kesetiaan tak boleh dibeli dengan wang ringgit...
No comments:
Post a Comment