Saturday, 1 June 2013

Cara hukuman mati diubah???




Tehran: Iran membuat keputusan kelmarin untuk membenarkan individu curang dan berzina tidak direjam sampai mati sebaliknya mengizinkan hakim mengeluarkan arahan supaya cara berbeza dilaksanakan. 

Ia berikutan kajian semula yang dilakukan terhadap cara hukuman dilakukan selepas mendapat bantahan kuat masyarakat antarabangsa. 

Rejam sampai mati membabitkan hukuman membaling batu ke arah pesalah yang ditanam sebahagian badannya. 


Pendekatan cetus bantahan 

Pendekatan itu mencetuskan bantahan kuat pertubuhan hak asasi manusia, badan antarabangsa dan negara Barat yang mendesak Tehran menghapuskannya. 

Awal minggu ini satu artikel kanun jenayah baru Iran menyatakan, jika ada kemungkinan tidak melaksanakan rejam itu, hakim yang membuat keputusan mungkin mengenakan tindakan dalam bentuk lain sementara menunggu kelulusan akhir oleh ketua kehakiman. 

Artikel itu tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kemungkinan hukuman rejam tidak wujud. 
Di Iran, hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan menggantung pesalah.
Di bawah tafsiran undang-undang syariah Iran yang berkuat kuasa sejak revolusi 1979, berzina dihukum dengan merejam pesalah. 

Wanita ditanam sehingga bahu namun lelaki hanya sehingga paras pinggang. Mereka terlepas hukuman jika berupaya melepaskan diri. 

Kesalahan membunuh, merogol, melakukan rompakan bersenjata, menyeludup dadah adalah antara yang membawa kepada hukuman mati di Iran. 

Negara Teluk itu antara negara yang paling banyak melaksanakan hukuman mati setiap tahun selain China, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. 

Sekurang-kurangnya 150 orang mungkin direjam di Iran sejak 1980-an, kata Jawatankuasa Antarabangsa menentang Hukuman Mati dan Rejam pada 2010. 

Menurut media tempatan, ahli parlimen mengeluarkan hukuman rejam daripada rang undang-undang yang diguna pakai namun Majlis Syura terdiri daripada ulama dan hakim, yang perlu meluluskan semua perundangan sebelum dikuatkuasakan, sudah membuat pindaan. 

Kritikan dunia ke atas Iran sampai ke kemuncaknya pada 2011 apabila seorang wanita yang sudah kahwin, Sakieneh Mohammadi Ashtiani, dilaporkan akan direjam kerana ada hubungan dengan dua lelaki. 

No comments:

Post a Comment